Saturday, 23 May 2015

Peranan Ibu Bapa Dalam Menyemai Amalan Menabung

Karangan ni hasil daripada perbincangan JJ n classmates. Hopefully membantu :)



PERANAN IBU BAPA DALAM MENYEMAI AMALAN MENABUNG

Secara definisinya,  menabung ialah menyimpan wang atau barang berharga di bank atau di tempat yang selamat. Amalan menabung haruslah dipupuk sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Menabung dapat melatih diri kita supaya sentiasa berjimat-cermat dengan wang yang dimiliki. Apabila kita menabung setiap hari sedikit demi sedikit lambat laun pasti akan menjadi banyak bak kata pepatah, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit dan sehari selembar benang lama-lama menjadi kain. Hasil daripada tabungan dapat membantu kita dalam keadaan kecemasan yang memerlukan wang. Selain itu, menabung juga dapat membantu kita mewujudkan masa depan yang terjamin. Hal ini dimanfaatkan apabila hasil tabungan digunakan untuk dijadikan modal perniagaan yang ingin diusahakan. Natijahnya, menabung amat penting untuk kita semua supaya dapat belajar mengatur kewangan. Oleh itu, ibu bapa berperanan penting untuk membentuk anak-anak mereka untuk menjadi seorang penabung sekali gus menjadi seorang yang berjimat-cermat.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa peranan ibu bapa untuk memupuk amalan menabung dalam diri anak-anak adalah penting. Membuka akaun bank untuk anak-anak mereka merupakan langkah yang paling bijak. Amalan ini perlulah dipupuk oleh ibu bapa sejak kecil lagi. Sebagai contoh, apabila musim perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri, sudah tentu anak-anak akan mendapat duit raya tidak kira sedikit atau banyak. Lebihan duit tersebut perlulah disimpan dalam akaun bank anak-anak mereka. Hal ini kerana, segala wang yang disimpan aka nada gunanya untuk masa hadapan apabila mereka dewasa kelak bak kata pepatah sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Secara tidak langsung, amalan ini dapat digunakan oleh anak mereka dan menjadikan ibu bapa mereka sebagai suri teladan. Oleh itu, amalan membuka akaun bank dapat member manfaat kepada anak-anak dalam memupuk amalan menabung.

Kanak-kanak diibaratkan sebagai kain putih yang tanpa tompok, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya. Ibu bapa seyogia melakukan anjakan paradigma untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak, sepantun peribahasa melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Oleh hal yang demikian, ibu bapa harus menjadikan diri sebagai suri teladan untuk anak-anak. Pada usia yang muda, anak-anak tidak dapat berfikir dengan rasional dan matang serta tidak membezakan antara intan dengan kaca. Kesannya, mereka akan mencontohi perlakuan dan tingkah laku ibu bapa. Bagaimana acuan, itulah kuihnya. Peribahasa yang sering terngiang-ngiang di telinga kita ini masih dapat dibuktikan kebenarannya sehingga hari ini. Memandangkan anak-anak akan mencontohi apa-apa jua tindakan dan gelagat ibu bapa, ibu bapa harus mengamalkan tabiat menabung. Antaranya, ibu bapa harus menyimpang wang yang berlebihan di dalam tabung. Sementelahan itu, ibu bapa harus memberikan penerangan kepada anak-anak untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak-anak. Alternatif ini dapat diibaratkan sebagai perisai yang ampuh kerana dengan adanya penerangan, anak-anak akan dapat meluaskan horizon mereka tentang kepentingan amalan menabung. Sebagai contoh, amalan menabung dapat menggarap nilai berjimat-cermat dan megikis sikap boros anak-anak. Anak-anak juga berupaya menguruskan kewangan dengan lebih efektif untuk mengelakkan pembaziran. Pada masa yang sama, ibu bapa harus memberitahu anak-anak tentang kesan-kesan negatif sekiranya amalan menabung tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Penerangan harus diberikan secara berhemah dan lemah lembut supaya lebih mudah diterima oleh anak-anak. Ibu bapa juga wajar menjadikan cerita, teka-teki dan tayangan video sebagai saluran untuk menyampaikan informasi tersebut kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana media-media tersebut amat mujarab untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak-anak. Sebagai kesimpulannya, ibu bapa harus menggembleng tenaga dan mendukung obligasi untuk membentuk generasi masa hadapan yang menyemai amalan menabung dalam sanubari.

Adat usang pusaka lama, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus diwariskan secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang dengan cekap. Ibu bapa seharusnya bijak dengan memberi galakan ataupun rangsangan kepada anak-anak untuk mengamalkan tabiat menabung. Ibu bapa seharusnya mengelakkan menghadiahkan anak dengan hadiah yang mahal seperti telefon bimbit, komputer riba dan permainan video. Hal ini kerana akan memberi kesan sifat materialistik, ibu bapa sewajarnya menghadiahkan anak-anak dengan tabung  sebagai galakan  amalan menabung. Amalan menabung juga seharusnya diberi rangsangan kepada anak-anak sejak kecik bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Di samping itu, ibu bapa hendaklah memberikan kepada anak-anak yang telah menabung dengan banyak. Antara penghargaan yang boleh diberikan ialah membawa anak-anak melancong  di tempat yang menarik seperti pantai, pulau dan taman tema.

Sebagai menyambung perbincangan di atas, tanggungjawab untuk memupuk amalan menabung dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak akan putus, tepung tidak berselerak. Dengan tiu, ibu bapa mestilah sentiasa membawa anak-anak ke kempen yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan juga bukan kerajaan (NGO). Antara kempen yang boleh dianjurkan ialah kempen menabung. Kebiasaannya, kempen-kempen begini diadakan semasa cuti sekolah. Hal ini demikian kerana pada cuti  sekolah, ibu bapa boleh meluangkan masa bersama anak-anak mereka dengan membawa mereka ke kempen-kempen yang dianjurkan. Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti sayembara puisi, menulis esei, kuiz pengetahuan am dan pertandingan melukis. Pertandingan yang diadakan sesuai untuk setiap peringkat umur. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan untuk menyemai amalan menabung dengan cara membawa anak-anak mengunjungi kempen-kempen yang diadakan.

Intihanya, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan anak-anak mereka menjadi manusia yang berjaya pada masa hadapan. Gagal atau berjayanya seseorang  anak itu sangat berkait rapat dengan corak didikan ibu bapa. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menerapakan amalan menabung dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa seharusnya bersungguh-sungguh menjadikan amalan menabung sebagai budaya anak-anak bak kata pepatah, genggam bara api, biar sampai jadi arang. Hal ini kerana, amalan ini boleh menjana kestabilan ekonomi seseorang individu dan mengekalkan keseimbangan Negara secara efektif. Perspektif negatif seperti biar papa asal bergaya perlu diubah agar setiap individu mempunyai misi untuk keluar daripada belenggu kehidupan yang begitu mencabar. Menabung boleh dijadikan benteng untuk mendepani realiti dunia baru yang pantas berubah dan berkembang. Semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan obligasi terhadap amalan menabung terus subur dalam diari ekonomi setiap individu agar kemakmuran  diri dan Negara dapat dikekalkan momentumnya. Oleh itu, setiap individu perlu mengorak langkah untuk menabung kerana amalan ini bukan sahaja dapat merealisasikan impian diri sendiri malahan Negara.


7 comments:

  1. so nice..i like it very much..tats a useful essay for my exam..tq..

    ReplyDelete
  2. terima kasih... harap satu hari nanti saya juga akan menlis sebegitu... ia menjadi suri teladan kepada saya...

    ReplyDelete
  3. Tqvm sbb da tlong siapkan hw saya🤗

    ReplyDelete